Monday, June 18, 2012

Sedikit Pasal Hadith



اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya‘ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan

# Takhrij[3]:

Dikeluarkan oleh Ahmad (no. 2346)[4], Al-Baihaqi dalam Syu‘ab Al-Iman (no. 3654), Al-Tabarani dalam Al-Awsat (no. 4086) dan lain-lain daripada Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas daripada Nabi SAW secara marfu‘[5].

# Status:

Hadith Munkar, bahkan sanadnya[6] dha‘if jiddan[7]. Hadith ini didha‘ifkan oleh ramai ahli hadith seperti Al-Tabarani[8], Al-Baihaqi, Ibn Rajab[9], Al-Nawawi[10] dan lain-lain.

Bahkan kata Imam Al-Baihaqi sebelum menyebutkan hadith ini dalam kitabnya Fadha’il Al-Awqat[11]: “Diriwayatkan berkenaan doa masuknya bulan Rejab, hadith yang tidak kuat (lemah)”.

Hadith ini mempunyai beberapa kecacatan:

1- Za’idah bin Abi Ruqqad dikritik oleh jama‘ah nuqqad:

Kata Imam Al-Bukhari: “Munkar Al-Hadith”, kata Imam Al-Nasa’i: “Tidak diketahui siapakah dia”, kata Al-Nasa’i lagi: “Munkar Al-Hadith”, kata Imam Abu Daud: “Tidak diketahui khabarnya”, kataImam Al-Hakim: “Hadith-hadithnya tidaklah kuat”[12]

2- Ziyad bin ‘Abdullah Al-Numairi yang juga dikritik nuqqad:


Kata Imam Yahya Ibn Ma‘in: “Dha‘if Al-Hadith”, kata Imam Abu Hatim: “…Tidak berhujah dengannya”, kata Imam Ibn Hibban: “Munkar Al-Hadith”, juga didha‘ifkan oleh Imam Abu Daud, dan lain-lain.



3- Bersama-sama dha‘ifnya Za’idah, dia turut bersendirian (tafarrud):


Kata Imam Al-Tabarani selepas meriwayatkan hadith ini: “Tidak diriwayatkan hadith ini daripada Rasul melainkan dengan isnad ini, bersendirian Za’idah bin Abi Ruqqad”


4- Bahkan silsilah jalur sanad ini (Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas) hadith Munkar :-

Kata Imam Abu Hatim: “menyebutkan (meriwayatkan) Za’idah daripada Ziyad Al-Numairi daripada Anas hadith-hadith marfu‘ yang Munkar”[13]

Kata Imam Al-Bukhari: “Za’idah bin Abi Ruqqad daripada Ziyad, Munkar Al-Hadith”[14]

# Fiqh al-Hadith:


Hadith ini walaupun ia Munkar dan isnadnya dhai`f jiddan, namun ia hanyalah doa, dan tidak bersangkut hal hukum-hakam dan lafaz doa itu tidak bercanggah dengan mana-mana asas umum dalam syariat Islam, maka beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan) dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW. 

Perlu diketahui bahawa manhaj para huffaz salaf dalam berinteraksi dengan hadith-hadith doa secara khusus ialah: hadith-hadith doa walaupun ia tidak thabit dari segi naqal, iaitu samada iadha`if khafif, atau dha`if jiddan, atau maudhu' (palsu) sekalipun, hukum beramal dengannya adalah mubah (dibolehkan), selagimana isi kandungan doa itu tidak bertentangan dengan asas-asas umum agama, dengan syarat tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.

Imam Ibn Khuzaimah (311H) dalam kitab beliau Mukhtasarul Mukhtasar, dalam bab al-Manasik, telah menerangkan kecacatan ('illah) satu hadith yang mengandungi doa. Namun , sejurus selepas itu beliau berkata hadith doa ini sekalipun tidak 'thabit' dari segi naqal (iaitu rantaian periwayatan samada dhaif khafif, atau dhaif jiddan, atau maudhu' (palsu) sekalipun) namun ia mubah (boleh) diamalkan. Isyarat yang sama dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi, Imam `Abdulrahman ibn Mahdi dan lain-lain.
Antara sebab bolehnya beramal dengan hadith-hadith doa yang dha`if ini ialah kerana lafaz doa adalah bersifat bebas dan tidak terikat sepertimana lafaz zikir yang ma'thur dari Nabi SAW. Maka berdoa dengan menggunakan lafaz hadith-hadith doa yang dha`if adalah lebih utama daripada menggunakan lafaz doa yang bersifat bebas, bahkan tanpa sanad langsung.
Walaubagaimanapun, sekiranya dalam sesuatu perkara itu telah mempunyai hadith doa yang sahih, maka beramal dengan hadith doa yang sahih itu sudah tentu lebih utama daripada beramal dengan hadith doa yang dha`if atau palsu.
Hal ini berbeza dengan hadith-hadith dalam fadha`il `amal yang lain (selain daripada jenis doa) dimana syaratnya agak ketat sedikit berbandiang hadith-hadith doa, iaitu ia boleh diamalkan dengan beberapa syarat antaranya ia bukan hadith yang dha`if jiddan, tidak menyandarkannya dan tidak meng-ithbat-kannya sebagai sabda Baginda SAW.


[1] Al-Hadith: iaitu perkataan, perbuatan, ketetapan atau sifat yang disandarkan kepada Nabi. Apabila disebut “hadith qauli” ia merujuk kepada perkataan Nabi, “hadith fi‘li” merujuk kepada perbuatan Nabi, “hadith taqriri” merujuk kepada ketetapan (persetujuan) Nabi, “hadith wasfi” merujuk kepada sifat Nabi. Terdapat ‘ibarat (istilah) lain yang digunakan oleh Ahli Hadith seperti “Al-Athar” dan “Al-Khabar”. Sesetengah Ahli Hadith kadangkala membezakan antara “Al-Hadith”, “Al-Athar” dan “Al-Khabar”. Iaitu “Al-Hadith” digunakan kepada Nabi, “Al-Athar” digunakan kepada selain Nabi iaitu kepada Sahabat, Tabi‘in, dan “Al-Khabar” pula adalah umum dan digunakan untuk kesemuanya. (rujuk: Taqrib ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 50-51, Mu‘jam Istilahat, ‘Abdul Mannan Al-Rasikh, hal. 86). Walau bagaimanapun, menurut Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni, para Ahli Hadith Al-Mutaqaddimin tidak membezakan antara ketiga-tiga istilah ini. Bagi mereka, ia adalah sama (rujuk: rakaman kuliah Syarh Nukhbah Al-Fikar, Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni)

[2] Al-Matan: iaitu kata-kata yang mengakhiri sesuatu sanad (tujuan sanad), dengan kata lain “Matan” adalah “lafaz” hadith itu sendiri (lanjut rujuk: Al-Dibajah Fi ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 18)

[3] Al-Takhrij: masdar daripada “kharraja / خرّج” (mengeluarkan), iaitu mengeluarkan sumber atau dengan kata lain menyebutkan sumber hadith di mana ia dijumpai, tidak semestinya menyatakan darjat hukum (status) hadith itu

[4] Yang sebetulnya hadith ini adalah tambahan ‘Abdullah bin Ahmad (anak imam Ahmad) ke dalam Musnad Ahmad. Pada asalnya imam Ahmad tidak memasukkan hadith ini dalam Musnadnya.

[5] Marfu‘: ialah sanad hadith itu terhenti kepada Nabi, sama ada dari segi perkataan Nabi, perbuatan Nabi, taqrir (persetujuan/ ketetapan) Nabi, atau sifat Nabi. Dengan kata lain hadith Marfu‘ ialah hadith yang dinisbahkan kepada Nabi, ia boleh jadi Sahih, Dha‘if, Maudhu‘ dan sebagainya. (rujuk: Syarh Al-Muqizoh, Dr. Hatim Syarif Al-‘Awni, hal. 101; Syarh Lughah Al-Muhaddith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 76)

[6] Sanad: adalah hikayat akan jalan Matan atau khabar akan jalan Matan, dengan kata lain menyandarkan hadith kepada pengucapnya. Bagi Ahli Hadith perkataan “Sanad” atau “Isnad” atau “Tariq” adalah sama seerti. Kata Imam Ibn Jama‘ah: “Para Ahli Hadith menggunakan perkataan “sanad” dan “isnad” untuk perkara yang satu (iaitu sama)”. Bagi mereka yang membezakan antara “sanad” dan “isnad”, ia adalah pembahagian secara lughawi (bahasa) bukan istilah (rujuk: Athar ‘Ilal Al-Hadith Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’, Dr. Mahir Yasin Al-Fahl, hal. 57-58; Al-Dibajah Fi ‘Ilm Al-Hadith, Tariq ‘Iwadullah, hal. 13)

[7] Dha‘if Jiddan: sangat lemah. Munkar: lihat nota kaki no. 15. Syaikh Al-Muhaddith ‘Abdullah Al-Sa‘d menyimpulkan hadith ni: Munkar, dan isnadnya dha‘if jiddan (dalam kitabnya Al-Badru Al-Tamam Fi Bayani Hukmi Ba‘dhi Ma Warada Fi Fadhli Ramadhan البدر التمام في بيان حكم بعض ما ورد في فضل رمضان, fasal hadith-hadith dha‘if fadhilat Ramadhan, hadith no. 4)

[8] Dalam Mu‘jam Al-Awsat (no. 4086), kata Al-Tabarani: “tidak diriwayatkan hadith ini daripada Rasul melainkan dengan isnad ini, bersendirian Za’idah bin Abi Ruqqad”

[9] Dalam Lata’if Al-Ma‘arif, 234

[10] Dalam Al-Azkar: hal. 314

[11] Fadha’il Al-Awqat, Al-Baihaqi, komentar sebelum hadith no. 14

[12] Rujuk: Tahzib Al-Kamal, Tahzib Al-Tahzib (Maktabah Shamela)

[13] Rujuk: Tahzib Al-Kamal, tarjamah Za’idah (Maktabah Shamela)

[14] Al-Dhu‘afa’, Al-Bukhari

[15] Hadith Munkar: maksud hadith Munkar di sisi ahli hadith terkemudian (Al-Muta’akhkhirin) ialah: “apa yang diriwayatkan rawi yang dha‘if yang menyanggahi dan menyalahi yang thiqat”, ini adalah definisi hadith Munkar di sisi Al-Muta’akhkhirin. Bagi para imam dan ahli hadith yang awal (Al-Mutaqaddimin) pula mereka tidak mengehadkan maksud hadith Munkar seperti Al-Muta’akhkhirin, akan tetapi bagi Al-Mutaqaddimin ia adalah lebih luas, iaitu setiap hadith yang tidak diketahui akan sumbernya, tidak kira sama ada rawi yang tafarrud (bersendirian) itu thiqah atau soduq atau dha‘if, sama ada tafarrudnya rawi itu bersama-sama mukhalafah atau tidak, iaitu dengan kata lain maksudnya sesungguhnya padanya berlaku kesilapan atau tidak terpelihara atau tidak diikuti (khata’, waham, ghayr mahfuz, gharib, la yutaba’ahu ‘alayhi ahad), seperti kata Imam Ahmad “yuhdath bi ahadith manakir laysa lahu asl”, kata Imam Al-Bukhari “hadith laysa bi ma‘ruf Munkar al-hadith”, dan antara ibarat-ibarat lain yang digunakan oleh Al-Mutaqaddimin untuk Munkar adalah seperti “haza khata’”, “haza waham”, “haza ghayr mahfuz”, “haza ghayr sahih”, “gharib”, “wa la yasybih”, “la yathbut”, “la yasih”, dengan itu Munkar pada Al-Mutaqaddimin adalah lebih umum daripada Al-Muta’akhkhirin, dan ia lebih dekat kepada makna al-lughawi iaitu “ghayr ma‘ruf/ tidak di ketahui”, iaitu padanya adanya berlaku kesilapan.

Contohnya kata Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kamil (1/292): “Dan hadith ini bersendirian padanya Isma‘il bin ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, dan ia hadith Munkar daripada hadith Al-Zubaidi, Ibn ‘Ayyasy telah mengambil hadith Al-Zubaidi ke atas hadith Ibn Sam‘an dan dia telah tersilap. Al-Zubaidi thiqah dan Ibn Sam‘an pula dha‘if”. Jika dilihat pada kata-kata Ibn ‘Adi ini dapat diketahui bahawa beliau menggunakan istilah “Munkar” ke atas apa yang telah bersendirian padanya Ibn ‘Ayyasy daripada Al-Zubaidi, kerana tidak diketahui hadith ini daripada hadith-hadith Al-Zubaidi, rawi yang meriwayatkannya daripadanya telah silap kerana telah memasukkannya hadith Ibn Sam‘an.

Contoh lain pula ialah kata Imam Al-Nasa’i (8/319): “Hadith ini Munkar, telah silap padanya Abu Al-Ahwas Salam bin Sulaym, sesungguhnya tidak diketahui seorang pun yang mengikutinya padanya Al-Ahwas daripada kalangan ashab Simak bin Harb… dan kata Ahmad bin Hanbal: “Abu Al-Ahwas telah silap pada hadith ini”. Jika kita lihat di sini Abu Al-Ahwas adalah seorang yang thiqah mutqin! Akan tetapi Imam Al-Nasa’i tetap menggunakan istilah “Munkar” ke atas hadithnya yang ada silap padanya. Dan contoh-contoh lain semisal ini sangat banyak.

Munkar adalah sebahagian daripada ‘Illah (kecacatan) pada hadith dan hadith itu tidak sahih.  (lanjut rujuk: 1-Mu'jam Musthalahatil Hadithi wa 'Ulumihi, Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi, hal. 57, cetakan Dar al-Nafaes, 'Amman, Jordan, 2009M , 2- Nazarat Jadidah Fi ‘Ulum Al-Hadith, Dr. Hamzah Al-Malibari, hal. 32, 200-210, Dar Ibn Hazm, 2003M, 3-  Al-Buhuth Al-Mukhtasarah, Dr. Hamzah Al-Malibari, cetakan Multaqa' Ahl Hadith (Al-Buhuth Al-Mukhtasarah ini merupakan himpunan kertas kerja pembentangan syaikh Al-Malibari di Algeria, besempena Multaqa' Al-Dauliy lil-Sunnah Al-Nabawiyyah pada 13,14,15 Mac 2010 di bandar Qistantinah (Konstantin/Constantine), Algeria) 4- Athar Ikhtilaf Al-Asanid wa Al-Mutun Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, hal. 465,Dar al-Muhaddithin, Qaherah, 2008M, 5- Syarh Lughotul Muhaddith, Thariq 'Iwadullah, hal.406 &  410,Maktabah Ibn Taimiah, Giza, 2009M, 6- Al-Syadz wa Al-Munkar wa Ziyadah Al-Thiqah, Dr. Mustafa Al-Muhammadi, di bawah seliaan Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf, hal. 80, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut,2005M)

p/s: syukran akhi ansarul-hadis.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Sila la Komen