Solat witir wajib di sisi mazhab Hanafi. Pendapat imam Syafie, solat ini hukumnya sunat mu’akkad.Imam Ahmad r.a berkata “ Sesiapa meniggalkan solat witir maka dia seorang lelaki yang buruk, tidak wajar untuk menerima persaksiannya”.
Di sini menunjukkan betapa pentingnya solat Witir. Ia disunatkan setiap hari dan tidak hanya di bulan Ramadhan. Witir maknya ganjil, jumlah rakaatnya minimum satu rakaat dan maksimum sebelas rakaat, afdhalnya tiga rakaat.
Cara melaksanakan witir ialah jika lebih tiga rakaat maka dilakukan setiap dua rakat satu salam dan ditutup dengan satu rakaat. Bila melaksanakan tiga rakaat boleh dilakukan langsung tiga rakaat seperti solat Maghrib tetapi sebahagian ulama’ berpendapat bahawa lebih utama, iaitu dua rakaat satu salam dan selepas itu dilakukan satu rakaat kerana ada hadis yang menjelaskan,“Janganlah menyamakan witirmu dengan Maghrib”.
Manakala waktu pelaksanaannya terjawab dalam hadis Nabi s.a.w “ Sesungguhnnya Allah s.w.t menghulurkan kepadamu dengan solat iaitu solat witir. Allah s.w.t menjadikannya untuk kamu setelah solat Isya’ hingga terbit fajar” . (Riwayat al-Tirmizi no 425)
Namun boleh juga memulakannya setelah solat Isya’ yang dijama’kan dalam waktu Maghrib. Dan solat witir tidak disunatkan berjemaah kecuali ketika dilakukan bersama dalam solat Tarawih.
Jika seseorang bimbang tidak dapat mengerjakan solat Witir di tengah malam atau akhir malam, seeloknya dilaksanakan sebelum tidur. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud “ Sesiapa yang khuatir tidak boleh bangun pada akhir malam, maka hendaklah ia solat witir di awalnya dan sesiapa yang ingin bangun di akhir malam, maka sesungguhnya solat di akhir malam itu disaksikan dan itu lebih utama” (Riwayat Muslim no 755)
Sekiranya sudah dilaksana solat witir sebelum tidur maka tidak perlu diulangi lagi sebagai penutup solat malam (sekiranya qiamullail) sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w “ Tiada dua solat witir dalam satu malam”.(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)
Dalam hal ini, tidak perlu menggenapkan Witir yang sedia ada sebelumnya seolah-olah membatalkan solat witir sebelum tidur kemudian diakhiri solat malamnya dengan witir yang lain. Inilah ijtihad majoriti sahabat-sahabat Nabi s.a.w, tabiin dan ulama’ mujtahid termasuk mazhab Syafie.
Sebaliknya kerjakanlah solat sunat dengan rakaat genap (solat hajat,tahjud,taubat) sehingga selesai malam tanpa mengerjakan witir. Menurut sebahagian ulama antaranya Imam Malik, padangan di atas adalah lemah. Seandainya kita dapati ada orang yang mempratikkannya ketahuilah mereka merujuk kepada athar Sayidina Umar r.a dan Sayidina Uthman r.a.
Surah yang dibaca bagi tiga rakaat witir mengikut anjuran sunah iaitu pada rakaat pertama surah al-a’la ,rakaat kedua surah al-kafirun dan rakaat ketiga surah al-ikhlas. Al-Nasa’i meriwayatkan daripada Ubai dan Ka’ab r.a ia berkata” Rasulullah s.a.w membaca dalam solat witir surah al-a’la ,al-Kafirun dan al-Ikhlas”.
Disunatkan mengqadakan solat witir yang telah luput daripada waktunya seperti mengqada solat fardhu (AL-Majmu’ jilid 4,hlm 43-44)
Sabda Rasulullah s.a.w “ Sesiapa yang tidur atau lupa solat witirnya maka solatlah apabila dia ingatkannya” . (Riwayat Abu Daud)
Marilah kita istiqamah menunaikan solat ini setiap hari hingga ke akhir usia, Hayatilah fadhilatnya,Ibn Umar r.a pernah mendengar Rasulullah s.aw bersabda yang bermaksud “ Sesiapa yang mengerjakan solat dhuha, perpuasa tiga ha
ri dalam sebulan dan tidak pernah meninggalkan solat witir sama ada dalam musafir dan bermukim, dicatat baginya pahala orang syahid”. (Riwayat al-Tabarani)
Ustaz Syed Mohd Fadzli al-Yamani
Mudir Madrasah al-Yamani,Kg Baru,Kuala Lumpur
Boleh ke solat witir 1 rakaat sahaja?
ReplyDelete