Monday, July 5, 2021

Erti Sebenar Kehidupan II

 Fuh dah berapa tahun tak menulis di blog. Kesibukan dengan pelbagai urusan dunia dan akhirat mengisi masa. Tatkala perkara sia-sia menyelit sekali sekala. Last menulis waktu belajar di Sudan. Dulu masih tercari -cari jalan kehidupan. Tak tahu mana arah pergi. Dan tak nak hidup macam orang lain hidup. Maksudnya sekadar hidup lahir belajar kerja nikah dan mati.

 


  Sedar tak sedar anak dah besar. Baru tahu komitmen seorang ayah, ketua keluarga yang mempunyai keluarga sendiri. Teringat cikgu Kimia sekolah , Cikgu Zukiman hafizahullah pesan, " awak akan menghargai ayah dan mak awak bila awak jadi seorang ayah". Dan sekarang macam itulah yang dirasa.

    Hidup berkeluarga bukan sekadar cari nafkah, bertambah anak , kerja , rumah tapi bagaimana kita harungi segala ini semua dengan penuh warna warni. Warna - warna itulah yang mencorak kehidupan kita. Sedar tak sedar.

    Dan paling penting , siapa sangka, Covid-19 melanda dunia. Dah 2 tahun PKP PKPP PKPD PKP berulang-ulang. Dapat menyaksikan sendiri wabak ini beri macam-macam kesan pada orang sekeliling. Yang sakit dengan cara sakitnya , yang terjejas sumber pendapatan. Tak kurang juga yang stress , alami masalah tekanan jiwa akibat kemurungan. Sekarang tengah LOCKDOWN apa pun tak boleh nak buat.

   


Masjid baru je buka sehari dua ni, tapi arahan kena tutup semula. Kekuatan rohati sangat penting ketika ini dalam mengharungi keadaan yang sungguh tekanan. Dari sisi rohani kekuatan untuk merasa sentiasa ada "pertolongan" yang menjaga kita dalam apa keadaan sekali pun. Masjid/surau tempat rahmat, penuh ketenangan sebab tu kalau stress ada masalah cari lah masjid surau insyaAllah akan hilang. Tapi apakan daya masjid dan surau masih di tutup. 

    Aku yang sedang berPDPR dengan anak - anak murid tak kurang stress juga. Menjadi seorang guru bukan semudah yang disangka. Mengajar secara bersemuka pun pelbagai karenah inikan secara maya. Yang paling terkesan,  bukan semua ibubapa mampu untuk membeli gajet, pakej internet untuk proses pembelajaran anak masing-masing. Kalau buat live googlemeet kurang dari separuh murid yang dapat bersama.

    Tengah menulis anak datang pulak. Ok cukup sekadar di sini penulisan harini. InsyaAllah akan mula semula perkongsian dengan sahabat pembaca semua ok Assalamualaikum.

Wednesday, July 29, 2015

Seluar Dalam

“Eh kau, seluar baju bergosok kemas, seluar dalam berlubang carik! , "
“ Alaa apa nak kisah, orang tak nampak,”

Kotor bukan? Malu? Begitulah hati kita yang semakin kita malu untuk dibicarakan di hadapan orang, apatah lagi dihadapan Tuhan. Jika dizahir hati kita yang kotor dan berselirat dengan dosa ini kepada ummat manusia nescaya malu untuk kita untuk memaksiat dan memungkari Tuhan. Jika saat dititik titikan hitam dosa yang kita lakukan, lalu dilihat manusia, oh malunya!

Hati, elemen yang penting dalam diri kita. Hati, akal, dan nafsu tiga serangkai yang tidak boleh dipisahkan . Elemen ini yang akhirnya membawa kepada nilai, keyakinan tingkah laku seseorang (behavior) . Kata orang hati itu raja, yang memerintah negaranya (diri), jika rosak raja maka pincanglah negaranya. Begitulah seperti sabda Nabi s.a.w ;

Ketahuilah dalam tubuh anak adam seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan itu. Jika rosak, maka rosaklah seluruh anggota badan itu. Ketahuilah dia adalah hati” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jadi sibukkanlah diri memperbaiki “raja” ini. Saban hari dirosak dek kemajuan dunia hari ini. Cukuplah melangkah dan menyusuri perjalanan dunia ini demi secebis pandangan manusia lain. Kita akan penat dan terus penat tanpa kepuasan. Kerna sungguh, Tuhan itu tidak mengendah luaran mu! Sabda Nabi s.a.w;

Sesungguhnya Allah tidak menilai rupa kamu dan harta kamu , akan tetapi sesungguhnya Allah melihat amalan-amalan dan hati kalian” ( Hadis riwayat Ibnu Majah)


Apalah guna luaran cantik segak bergaya tapi dalamnya penuh dengan kekotoran yang menjijikan! Jadi, melangkahlah saat ini dengan pandangan Tuhan. Usah dikira kata tomahan. Terus berjalan dan sebarkan kebaikan. Kerna kebaikan itu buahnya keberkatan berpanjangan!

Friday, May 8, 2015

Ribut Pasir Panas


Cepisan angin ribut pasir menghembus perlahan diselami bahang panas yang tidak dapat dipisahkan. Penghawa dingin di maktabah segera di  "on" . Merebah badan di kerusi study. Menghela nafas kepenatan berjalan di bawa terikan mentari. Sesekali pintu maktabah dibuka. " Dah solat ?,"tanya Sufi. " Belum lagi, baru balik ni, rehat kejap, " jawab aku ringkas.

Begitulah rutin harian yang mengisi tiap detik disini. Jika dihitung-hitung, sudah kurang atau lebih sepuluh bulan di sini. Sungguh kesibukan ini mengisi waktu-waktu lompong yang barangkali boleh menjadi sia-sia bahkan melakukan maksiat kepada Allah swt. Bila berbicara soal masa, terlintas terus kalam Allah swt;

                            وَالْعَصْرِ , إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ , إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan untuk kesabaran.” (QS. Al ‘Ashr 1-3) 

 Usai solat terus meluru ke meja study . Daun tertingkap dibuka, merenung jauh ke langit. Teringat kata-kata seorang sahabat, " Walaupun jarak memisahkan kita, tapi kita melihat langit yang sama". Terlintas segala kenangan di tanah air. " Ah dia buat lagi ," bermonolog sendirian mengenang diri yang sibuk teringat tanah air sejak kebelakangan ini. 

" Bila nak kahwin? , " menyentap aku dari khayalan soalan si Zaidi yang kerap kali ditanya. 
" Entah la, ana pun kadang-kadang fikir, " balas aku mudah. " Enta kadang-kadang, ana ni selalu fikir, " sambung Zaidi. Itulah topik perbualan yang kira semua lapisan umur boleh berbual. Namun, perbicangan yang kerap kali itu membuat ia bermain-main difikiran. Kahwin, calon isteri oh bukan mudah yang disangka! " Ana kalau nak kahwin, tak mai sini dah, kerja kumpul duit terus kahwin, " aku mengakhiri perbualan.

Jodoh? risaukan? ada? tiada? Pun risau. Plan selepas habis belajar, plan waktu kahwin dan segala jenis plan yang terkadang menjadi retorik pada perbualan. " Ohoi la jodoh, entah siapa engkau, " mengeluh sendirian. Suntikan pemikiran ini terkala merumitkan keadaan. Tapi... Jodoh entah siapa, mati entah bila-bila. Sibuk ke jodoh, entah mati dulu. Pujuk hati. 

Ya. Sibuk berbual, berbicara perkara yang boleh melemahkan hati, sesekali mungkin boleh untuk menyeri suasana. Tapi jangan lupa mengenai soal mati, saatnya bakal tiba, tidak terlewat atau tidak tercepat.

                           “Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati” (Ali Imran: 185)
Apabila telah sampai ajal seseorang, maka sesaat pun tidak dapat ditangguhkan, dan sesaat pun tidak dapat didahulukan.” (Al-A’raf: 34)

Jelas lagi bersuluh, sesuatu yang sudah pasti tiba. Jadi apa yang kita sibukan lagi? Sudah cukupkah bekalan yang ada? Amalan kebaikan? 

Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baiknya bekal adalah taqwa
(Al-Baqarah: 197)

Bersambung......

Wednesday, March 18, 2015

عمري..

يا اخي كم عمرك؟
tanya seorang sahabat.
soalan yang sentiasa mengingatkan aku dimana simpang yang sedang berada.
Berapa banyak masa yang telah gunakan demi agama? dan banyaknya masa yang guna untuk menempah neraka نعوذ بالله من ذلك.

Menjadi kebiasaan menerima ucapan selamat ulang tahun kelahiran dan sebagainya. peringatan khas dari sahabat² tersayanah.  semoga Allah merahmati mereka semua.

masih jauh lagi perjalanan, namun bekalan semakin nipis. ayuh! teguhkan hati, kuatkan iman. jumpa nanti di perhentian rahmat dan keberkatan ya sahabat². 2.12 am. bumi panas.

Thursday, March 12, 2015

Bayu Rindu

Deras arus Sungai Nil sederas masa kesibukan,  buat si penuntut ilmu. Sepatu buruk menjadi saksi tiap langkahan menerobos debu-debu tanah ini.

Pohon tamar menjadi teduhan terikan sinaran mentari. Tegukan air sofia sesekali membasahi tekak. " Allah panasnya" bermonolog sendirian. Terus melangkah pulang ke rumah. 

Kesibukan yang bersirat ini selalu menenggelam kerinduan pada tanah air. Namun tatkala bayu panas hadir menghembus,  membawa seribu satu kerinduan. mak ayah, adik beradik wajah sering muncul. 

Allah. semoga mereka sentiasa dalam rahmat dan keberkatan. kuatkan hati hambaMu ini ya Allah untuk terus kuat melangkah mencari redhaMu. 


Saturday, December 27, 2014

Perjalanan ilmu–RumahKu SyurgaKu (RKSK)

 

IMG-20141226-WA0005

Alhamdulillah setelah sekian lama bersabar akhirnya bakal meninggalkan rumah etihad kami yang lama, yang begitu uzur dan tidak sesuai untuk diduduki dengan jumlah kami yang besar.

IMG-20141226-WA0004

Biah yang baik perlu dibentuk dalam suasana rumah, bagi menghidupkan biah ilmiah dan bukannya sekadar rumah untuk tidur, mandi ,makan dll. Begitu juga rumah kita bersama keluarga, bukan sekadar rumah transit untuk pulang bercuti, tapi rumah yang memberi saat² yang mengindahkan bersama keluarga dan bagi mendapatkan saat itu perlunya ada suasana yang indah. bukan?

IMG-20141226-WA0009

Alhamdulillah, setelah sekian lama mencari, berdoa, Allah kurniakan rumah yang sangat baik, selesa dari segi fizikalnya. Tapi segi rohani, kita lah yang perlu membentuknya. Semoga rumah etihad yang baru ini membuat kekuatan kepada kami semua untuk mendalami ilmu agama dengan lebih baik. InsyaAllah.

Thursday, December 25, 2014

Perjalanan ilmu-Guruku

 

Sangat sempoi sewaktu mengajar. Menyelitkan sedikit gelak ketawa, mengambil jalan tengah dalam berpendapat dan sangat rendah diri orangnya. Pergi ke tempat mengajar menaiki bas, kadang-kadang anak murid bawanya dengan kereta , tapi Sheikh lebih suka menaiki bas. Juga tidak menanam taksub pada mana² pendapat, apatah lagi pada dirinya. Pernah Sheikh menulis kitab, setelah dicetak, Sheikh berkata : “ Aku tidak paksa untuk beli, jika mahu, beli jika tidak , tidak perlu”

Sedikit disini coretan mengenai Sheikh ku yang mulia.

sheikh muhammadNama penuh beiau ialah Muhammad bin Abdullah bin Ali Muhyiddin, dari keluarga Muhyiddin yang berasal dari Zabid, Yaman. Pensyarah di Kuliyah Syariah dan Qanun, Universiti Antarabangsa Afrika, Khartoum-Sudan. Salasilah keluarga beliau bersambung ke Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lua’i bin Ghalib bin Qurasy, Datuk ke tiga Rasulullah SAW.

Ayah beliau berhijrah ke Jeddah, dan disanalah beliau dilahirkan pada 1 Muharram tahun 1393hijrah. Semasa kecil, beliau telah berkhidmat dan dididik oleh Syeikh Muhammad Abdul Rabb al-Nazzhori (sekarang anggota badan tertinggi bagi fatwa di Dubai), dan dari guru beliau ini dia belajar asas-asas agama. Ketika datuk beliau Faqih Ali Muhyiddin, yang merupakan seorang yang alim mazhab Syafie menziarahi beliau dan ayahnya di Jeddah, dia telah berjumpa dengan Syeikh al-Murabbi al-‘Alaamah Abdullah Ahmad al-Nakhibi al-Yafi’i yang menjadi Imam di masjid Ba Baidhon, Hayyi Kandarah, Jeddah.

Ketika itu Syeikh Abdullah an-Nakhibi berusia lebih kurang 90 tahun, dan beliau merupakan seorang ulama yang besar di Yaman di zaman mudanya, malah pernah menjawat menteri agama sebelum Yaman dikuasai oleh komunis. Maka Faqih Ali menasihatkan anaknya supaya Syeikh Muhammad belajar dari Syeikh Abdullah an-Nakhibi rahimahullah apabila melihat ketinggian ilmunya. Dari situ bermulalah detik Syeikh Muhammad yang baru berusia 10 tahun ditarbiyah dan dididik Syeikh Abdullah an-Nakhibi rahimahullah, beliau belajar pelbagai jenis ilmu termasuk fiqh syafie, nahu, aqidah, sirah, tarikh dan lain-lain.

380298_561613057186539_1823863280_nAntara kitab-kitab yang ditadah dan dikhatamkan oleh Syeikh Muhammad pada gurunya yang tercinta ini adalah; Risalah Jamiah karangan Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi, Mukhtasor Soghir dan Muqaddimah Hadhramiyah karangan Syeikh Abdullah Ba Fadhl, Safinatun Naja, Sullam Taufiq, Fathul Rahman, Matan Abi Syujaa’ berserta syarah Ibnul Qasim al-Ghazzi, Fawaid Thaminah karangan Habib Muhammad Bin Hafidz ayah kepada Habib Umar bin Hafidz, Matan Zubad Ibnu Ruslan, Umdatus Salik Ibnu Naqib, Minhajut Tolibin Imam Nawawi, Tanbih Imam Syirozi dan lain-lain kitab fiqh Syafie.

Adapun kitab-kitab hadith Syeikh Muhammad meriwayatkan dari gurunya an-Nakhibi Arbain Nawawiyah, berserta tambahan Ibnu Rejab Hanbali, Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, Bulughul Maram, Riyadhus Solihin dan thuluthiyaat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi, Tabrani, Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Syeikh Abdullah Ahmad an-Nakhibi.

phoca_thumb_l_1190186804_habib-abdullah-al-nakhibiDi antara kitab-kitab lain yang dikhatamkan pada Syeikh Abdullah Nakhibi adalah, Aqidah al Awwam, Jauharah Tauhid, al-Kharidah al-Bahiyah, Matan Waraqaat berserta syarah Mahalli, Risalah Imam Syafie, Bidayatul Hidayah, al-Adaab fid Din karangan Imam Ghazali, Unwan at-Taufiq fi adaan at-Toriq karangan Ibnu Ataillah Sakandari, Nasoih Diniyah, dan Hikam karangan Habib Abdullah al-Haddad dan lain-lain. Syeikh Muhammad telah mengkhatamkan kitab pada Syeikh Abdullah al-Nakhibi sahaja lebih dari 80 kitab. Beliau melazimi Syeikh Abdullah an-Nakhibi hinggalah Syeikh Abdullah wafat 27/3/1428 hijrah, dan beliau sendiri yang memandikan dan mensolatkan guru kesayangannya itu.

Selepas selesai pengajian beliau diperingkat Thanawi di Jeddah, beliau telah ke Sudan pada tahun 1412 hijrah untuk menyambungkan pengajiannya ke peringkat Universiti. Dan di Sudan beliau tidak hanya cukup belajar di universiti sahaja, malah beliau mengambil peluang untuk belajar dari ulama-ulama Sudan. Dan guru yang pertama beliau di Sudan adalah Syeikh Ahmad bin Abdul Salam al-Ja’li al-‘Abbasi al-Maliki. Dan dari beliau inilah Syeikh Muhammad mengkhatamkan kitab-kitab fiqh maliki seperti Risalah Ibnu Abi Zaid al-Qairawani, matan Ibni ‘Asyir, Muwato’ Malik riwayat Yahya al-Laithi, Awail Sunbuliyah dan sebahagian dari Sahih Bukhari selain dari banyak lagi kitab-kitab yang dikhatamkan.

Pada tahun 1418 hijrah, beliau bertemu dengan Musnid Sudan, Syeikh Musa’ad Basyir hafizohullah dan sejak itu Syeikh Muhammad melaziminya sehingga beliau mengkhatamkan kitab-kitab hadith yang besar-besar seperti Sohih Bukhari, Sohih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi, Sunan Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, Muwatto’ riwayat al-Laithi, al-Qa’nabi dan as-Syaibani, Musnad Imam Ahmad, Mu’jam Shoghir Tabrani, Zadul Muslim, Awail Sunbuliyah, Adabul Mufrad, Al-Azkar dan Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi, dan sebahagian dari Sunan Darimi dan Mustadrak Imam Hakim. Selain dari kitab-kitab hadith, beliau juga mengkhatamkan kitab-kitab mustolah hadith, usul-fiqh dan lain-lain seperti Matan Baiquniyah beserta Syarah Hasan al-Masyat, Muqizoh Imam Zahabi, Muqadimah Ibnu Solah, Nuzhatun Nazor Ibnu Hajar, al-Ba’ithul Hathith dan lain-lain lagi.

Selain dari Syeikh Musa’ad, Syeikh Muhammad juga telah menadah kitab dari ulama Sudan yang lain seperti Syeikh al-Badawi Muhammad at-Tohir al-Husaiyni, imam besar masjid Khartoum, Syeikh Muhammad bin Abdul Rahim bin Hamid al-Kahili, Syeikh Diyab Ahmad Diyab, Syeikh Muhammad Ali Bayan al-Habsyi, Syeikh Muhammad bin Ali at-Thoraifi al-‘Araki dan selain mereka.

Syeikh Muhammad juga pernah bermusafir ke Yaman dan bertalaqqi dengan beberapa ulama di sana seperti Syeikh Ali bin Salim Bukayir Ba Ghauthan, Syeikh Sulaiman bin Ahmad al-Mahnabi al-Zabidi, Syeikh Umar bin Ismail al-Batthoh al-Ahdal dan Habib Salim ash-Syatiri. Selain mereka guru-guru Syeikh Muhammad secara talaqqi adalah;

#Syeikh Ghulam bin Imam bin Nizar al-Afghani al-Hanafi (guru beliau dalam mazhab Hanafi)
#Syeikh Abdul Qadir Karamatullah al-Bukhari.
# Syeikh Nasr bin Muhammad al-Hasani al-Misri.
# Syeikh Yahya bin Abdul Razzaq al-Ghauthani ad-Dimasyqi.
# Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghaazi al-Hanafi Mufti Bangladesh.
# Syeikh Sa’duddin Sa’id al-Murad al-Hamawi as-Syafie.
# Syeikh Abdul Wakeel bin Abdul Haq al-Hasyimi al-Hindi.
# Syeikh Malik Bin Arabi as-Sanusi al-Maliki al-Libi (Cucu kepada Syeikh Muhammad Ali Sanusi pengarang kitab Ummu Barahin).
# Syeikh Muhammad bin Habib al-Bushodi as-Syinqiti.
# Syeikh Muhammad bin Mahmud al-Hajjar al-Halabi as-Syafie.
# Syeikh Solah bin Ahmad bin Abdullah al-Hamdani al-Yamani al-Zaidi (guru beliau dalam mazhab zaidi).

Dan selain mereka ramai lagi guru-guru talaqqi dan ijazah Syeikh Muhammad. Beliau juga memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang syariah dan qanun dengan darjat cemerlang (imtiyaz) di Universiti Omdurman Islamiyah dan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang disampaikan oleh Presiden Sudan sendiri ketika itu. Namun kerana cintanya beliau dengan ilmu, beliau tidak hadiri majlis penyampaian hadiah tersebut kerana menghadiri majlis talaqqi salah satu dari masyayikh beliau.
Sekarang beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Antarabangsa Afrika di Khartoum, disamping mengajar fiqh syafie dan hadis secara talaqqi di luar universiti.

sumber : maulana muhajir afriqiyy aka maulana akmal.

Saturday, December 20, 2014

Perjalanan Ilmu–Bahagia, awak kat mana?

 

              Kembali menulis setelah sekian lama menyepi. Kesibukan dengan kuliah , tugasan memenuhi ruang lingkup waktu setiap hari, membatas tiap pergerakan dan perlakuan. Seperti firman Allah swt, “Demi masa! sesungguhnya manusia dalam kerugian”

DSC_0010Selalu mengingatkan pada hati ini, Hidup ini adalah apa yang kita inginkan. Bukanlah mudah mengejar sesuatu perkara. Dugaan bertalu-talu, datang itu dan ini , kita hanya mampu berusaha sekadar termampu dan selebihnya berdoa kepada Allah. Berkali terfikir, adakah perlu lari dari masalah? Sebenarnya tidak, dimana² pun Allah datangkan ujian dan dugaan yang itu sebenarnya hadiah terindah dalam menguji keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

(Kitab hadiah Sahabat dari Somalia)

Dan kita sering menginginkan kehidupan yang lapang dari segenap masalah, tiada gelisah dan resah, sebenarnya kita silap, lapang dan tiada gelisah itu bila hati sentiasa bertuhan. Teringat lirik lagu dari UNIC;

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa

Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang.

Arus kehidupan harini yang semakin deras, ombak dunia yang menghempas, melemaskan kita dari menggapai dan menghirup “nafas” dari Tuhan. Terlalu sibuk mencari kebahagian, kekayaan , kemewahan, keingingan, Tapi sebenarnya kita terlupa mencari Tuhan, itulah sebenarnya hakikat kebahagian yang berpanjang.

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"
Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan beribadat kepada Ku.” (Surah Adz-Dzariyat Ayat 56)

Tuesday, October 7, 2014

Perjalanan ilmu–Eid Adha

 

Buat kali kedua Allah memberi kesempatan untuk menyambut eid adha di perantauan. Namun, kali ini sangat berbeza kerana berada jauh nun di negara orang. Menjadi kebiasaan 9 Zulhijjah (hari arafah) menjadi perbahasan bilakah tarikh yang patut berpuasa. kerana di Malaysia berbeza sehari dengan Saudi. Kami disini mengikut saudi, jadi tidak begitu bermasalah.

DSC_0068

Di sini, Eid Adha disambut dengan meriah dan itulah sepatutnya. Tapi lain di Malaysia, Eid Fitri yang disambut besar-besaran walaupun hakikatnya Hari Jumaat lebih besar kedudukannya dari hari eid Fitri. Cuti seminggu diberikan. Maka pengembala dari kabilah-kabilah yang jauh dipedalaman datang untuk memperdagang kambing (khoruf) mereka.

DSC_0071

Mereka akan tidur di tepi jalan bersama khoruf yang dibawa selama 3 hari. Penuh di tepi jalan dengan khoruf.

IMG-20141004-WA0007

Sehari sebelum raya, kami bertolak ke kompleks petronas. Tiap-tiap tahun disitulah korban dibuat. Jemaah dalam 100 orang, selesai solat khutbah dibaca. Disini islam dilihat sangat mudah. Sungguh! Kami hanya solat di padang dataran kompleks.

IMG_20141004_084851

2 ekor lembu dan 5 ekor khoruf disembelih. Sedikit mengecewakan daging yang terlalu banyak hinggakan buang. Allahurabbi. Dimana nilai korban yang mampu dilihat mendekatan diri kepada Allah swt?

IMG-20141004-WA0010

Kami bergambar sebelum memulakan korban (staf petronas+Kedutaan+pelajar) Inilah kami. Keluarga malaysia yang jauh .Jumlah yang sikit disini membuat kami lebih menghargai antara satu sama lain. Semoga Allah sentiasa memberkati , merahmati tiap langkah perjalanan hidup ini. Aminn.

Thursday, September 4, 2014

Perjalanan Ilmu – معرض الكتاب

 

“jom pergi maarod” . Jom2 aku pun nak pergi. Cuma diam seketika. Apa penda maarod tu.  Oh pesta buku. Event yang sangat ditunggu oleh si pencinta ilmu. Dari rumah kami siap list out senarai kitab dan harga. Buat aku yang pertama kali untuk menjenguk pesta kitab ni pastinya bersemangat!

DSC_0001

  Beberapa hari sebelum mula pesta buku, aku sibuk bertanya kepada sahabat2 disini mengenai kitab yang harus aku beli, tak kurang ustaz2 di tanah air.

Seawal 6 ptg kami bergerak menaiki bas menuju ke tempat destinasi. Masa yang perjalanan lebih kurang 15minit, berhampiran juga kedutaan Malaysia.

 

DSC_0003

Sungguh! tergamam aku melihat kitab-kitab yang tersusun. Ya Allah! Rasa nak borong semua. Dari bab Aqidah hingga ke akhlak@tasawuf ada jual di sini.

 

 

 

DSC_0004

 

Azam aku untuk mengumpulkan susan sittah. Bermula fathul bari harga lebih kurang Rm200! Subhanallah murah tersangat.

 

 

 

DSC_0005

 

Buat aku yang masih baru berjinak dalam bidang agama, masih bercelaru dengan lughah bukan lah tahap untuk menelaah kitab berbahasa syurga ini satu persatu. InsyaAllah semoga Allah kekalkan semangat ini.

Amin!

Monday, September 1, 2014

Perjalanan Ilmu Episod-1

 

Alhamdulillah. Sedar tak sedar sebulan sudah di bumi panas ni. Mengambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri di sini. Sungguh! Tak pernah terlintas, cuma kemahuan untuk keluar menuntut ilmu agama itu sentiasa terpendam tapi tidak pernah sesekali tersangka akhirnya menjadi kenyataan.

             Bukanlah mudah untuk membuat keputusan yang akan merubah perjalanan hidup kita hampir 360 darjah. Namun, yakin segala ini susunan dari Yang Maha Esa, Allah swt. Pelbagai usaha, pendapat, iskharah yang dibuat untuk meredah laluan ini. Susah senangnya biar Allah taala saja tahu.

            Ramai sungguh sahabat², adik² junior whatsapp, tidak kurang di Facebook, tanya perkembangan diri ini. Masih ramai yang ambil berat. Terharu pulak. Kadang² tu, cuma hanya nak tanya “ sekarang kat sana pukul berapa?” Soalan paling famous. Harini baru kesempatan untuk “mengupdate” serba sedikit. Bukan niat untuk berlagak atau sebagainya cuma sebagai perkongsian untuk semua. Smile

 

DSC_0195

Transit di abu dhabi setelah hampir 5-6jam dalam kapal terbang Etihad. Lesu badan. Terus ke ruang menunggu , dalam 2 jam.

DSC_0202

Lebih kurang 1.30 ptg , 3-4 jam penerbangan, Alhamdulillah menjejakkan kaki di bumi sudan.

DSC_0203

Airport Khartoum, agak besar, tapi kurang bersistem sikit.

DSC_0207

Agak untung, sampai di sudan, waktu musim hujan, tapi yang malang, jalan berlumpur di sini tiada sistem pemparitan. Air paip disini tidak dirawat, segar dari ladang dan yang paling best tak payah bayar. Lektrik pula di sini guna sistem topup.

DSC_0245

Khimar, transport orang disini. Peringatan jangan suka ambil² gambr disini, kerana bagi mereka aib. Ni curi² ambil gambar. Disini yang punyai kereta kebanyakkan kakitangan kerajaan. Selebihnya menaiki kenderaan awam (bas, reqsya (teksi tayar 3) , amjad (van mini) dll). Setiap hari ke kelas, naik bas dengan tambang 30 sen.

DSC_0229

Kawan² bawa tempat makan, Hadramaut, menu nasi mandi. Pelajar kat sini ramai baik².

DSC_0227

Hafiz dan syukri antara yang banyak membantu.

DSC_0230

Nasi mandi, first time dengar, sebenarnya lebih kurang nasi arab. makanan di sini murah². 6 orang makan baru Rm30. Orang sudan makan full ( kacang) dengan roti dan beberapa lagi makanan tempatan yang tak diterima perut. Kami disini hari² masak. Kadang² tu megi (indomee) je. Susah nak cari nasi lemak sini. Smile with tongue out.

DSC_0217

Setiap pelajar baru datang perlu daftar dengan kedutaan. Jadi kedutaan tempat pertama pergi. Agak jauh la.

DSC_0288

Masjid Khartoum, tengah² bandar, sini mostly mazhab maliki. hampir sama dengan mazhab syafie. Yang seronok di sini amalan bertegur sapa, beri salam diamalkan. Dan bila waktu azan, berpusu² menuju ke masjid/surau ataupun solat ditepi² jalan, dalam kedai dan sebagainya.

DSC_0294

Al-Waha Mall, berjalan cari barang. Sangat cantik binaan.

DSC_0290

Al Waha Mall terletak di Suk Arabi di Pusat Bandar. Sangat berbeza dengan kawasan di tempat tinggal kami.

DSC_0241

Mula² masuk maahad lughah, ada exam untuk menentukan di kelas mana kita akan berada. Jadi buat orang macam sy ni semestinya di kelas paling awal (mustawa 1). Tak faham sepatah apa orang cakap, mengagahkan diri untuk cuba faham.

     Jadi cukuplah setakat tu. Semoga Allah lapangkan dada untuk mendalami ilmu disini. Sungguh terasa semangat untuk belajar!

Wednesday, July 16, 2014

There’s nothing much I could..

 

اللّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِيْ نُحُوْرِ أَعْدَائِنَا ، وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ ، اَللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ ، وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ ، وَشَدِّدْ كَلِمَتَهُمْ ، وَزِلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكْ ، يَا قَهَّار يَا جَبَّار ، يَا مُنْتَقِمْ يَا اَللهُ ، ياَ اَللهُ ، ياَ اَللهُ ، اَللَّهُمَّ يَامُنْزِلَ الْكِتَاب ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَاب ، وَياَ هَازِمَ اْلأَحْزَاب ، إِهْزِمْهُمْ ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ ،


اللّهُمَّ إِنَّا نَسْتَعِيْنُكَ وَنُؤْمِنُ بِكَ ، وَنَتَوَكَّلْ عَلَيْكَ وَنَثْنِيْ عَلَيْكَ الْخَيْرَ وَلاَ نُكَفِّرَكَ ، اللّهُمَّ إِيَّاكَ نَعْبُدُ ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ ، نَرْجُوْ رَحْمَتَكَ وَنَخْشَى عَذَابَكَ ، إِنَّ عَذَابَكَ الْجَدِّ بِالْكُفَّارِ مُلْحِقِ ، اللّهُمَّ عَذِّبِ الْكَفَرَةَ أَهْلَ الْكِتَابِ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِك، يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ


اللّهُمَّ أَعِزَّ الاسلامَ والمسلمين اللهم انْصُرِ الاسلام والمسلمين ، اللهم انْصُرْ اِخْوانَناَ مِنَ المستضعفين والمظلومين، اللّهُمَّ انصر اخواننا من المجاهدين في فلسطين، اللهم انصر اخواننا من المجاهدين في شيشان ، اللّهُمَّ انصر اخواننا من المجاهدين في كشمير، اللّهُمَّ انصر اخواننا من المجاهدين في كل مكان وفي كل زمان ، اللّهُمَّ اللهم انْصُرْهُمْ على عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ ، وَأَهْلِكِ الكفرةَ والكافرين والشركَ والمشركين والنفاقَ والمنافقين والظُلْمَ والظالمين وَدَمِّرْ أَعْداءَكَ أَعْدَاءَ الدِين مِنَ اليهودِ الغاصِبِينَ والغادِرِين وَالنصاري المستعمِرِين والمستكبرين ، اللهم زَلْزِلِ الأرض مِنْ تَحْتِ أقدامِهم وَاخْرِجْهُم منه أَذِلَّةً صاغِرِين ، يا رب العالمين

QUNUT NAZILAH-DOA UNTUK MUJAHIDIN PALESTIN

ezzedeenalqassam1Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya kami memohon Engkau letakkan kami di tengkuk musuh-musuh kami, dan kami memohon perlindungan daripada kejahatan mereka, Ya Allah Ya Tuhan Kami, Engkau seranglah mereka pada segenap penjuru, dan porak perandakanlah gagasan mereka, dan keraskanlah arahan Engkau ke atas pendirian mereka, dan kucar kacirkanlah pergerakan mereka, dan Engkau hantarlah anjing-anjingMu untuk menggempur mereka, wahai tuhan yang Maha kuat, Perkasa dan Pembalas dendam, ya Allah, ya Allah, ya Allah, Wahai tuhan kami yang menurunkun kitab, yang menggerakkan awan, yang menghancurkan tentera ahzab, hancurkanlah mereka, dan menangkanlah kami ke atas mereka.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolongan kepada Mu, dan kami beriman dengan Mu, dan kami bertawakkal kepada Mu, dan kami menyanjung kepada Mu dengan kebaikan dan kami tidak mengkufurkanMu. Ya Allah hanya kepadaMu kami sembah, dan kepada Mu kami sembahyang dan sujud, untuk Mu kami berusaha. Kami mengharapkan rahmat daripada Mu dan kami takutkan azab Mu. Sesungguhnya azab Mu yang berat sudah pasti terhadap golongan kuffar. Ya Allah azablah golongan kuffar yang menghalangi jalanMu.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, muliakanlah Islam dan orang-orang Islam, Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah Islam dan orang-orang Islam. Ya Allah Ya Tuhan kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan golongan yang lemah dan dizalimi, Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Palestin (3 X),

Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Chechen, Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di Kashmir, Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah saudara-saudara kami di kalangan pejuang-pejuang di seluruh tempat dan pada setiap masa, Ya Allah Ya Tuhan Kami, menangkanlah mereka menentang musuh-musuh Mu dan musuh-musuh mereka, dan hancurkanlah kekafiran dan orang-orang kafir, kesyirikan dan orang-orang yang syirik, kemunafikan dan orang-orang munafik, kezaliman dan orang-orang zalim, dan musnahkanlah musuh-musuhMu dan musuh-musuh agamamu dikalangan orang Yahudi pencabul dan pengkhianat, dan golongan nasrani penjajah dan penyombong.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, Engkau gegarkanlah bumi ini di bawah tumit-tumit mereka, dan campakkanlah mereka ke lembah kehinaan dan kekerdilan

Thursday, June 5, 2014

Tarbiyyah Si Kecil

 

Azan maghrib berkumandang. Aku masih leka bersiap-siap. Terus memecut laju kuda tunggangan merah ke masjid. Ah miss lagi takbiratul ula dengan imam. Melangkah masuk masjid terlihat seorang abang membawa 2orang kanak-kanak lelaki. Lesu dan tak bermaya. Aku terus meluru ke saf.

Salam diberi. Imam mula meratib zikir. Tiba-tiba kedengaran suara kanak-kanak menangis dengan kuat. Oh budak tadi. Abang tadi mendakap kanak-kanak tersebut dan hanya menggosok2 kepala. Dan meletak seorang lagi kanak-kanak di atas riba.

Malam Jumaat. Menjadi kebiasaan aktiviti masjid untuk membuat bacaan yassin dan tahlil. Aku beberapa kali menoleh memerhati lelaki tersebut bersama kanak-kanak itu. Anak dia barangkali. Seorang anak dia sibuk menyusun-nyusun yassin di hadapan ayahnya. Yang seorang lagi duduk di riba.

Anak-anaknya semakin bising.Aku menoleh lagi. Haish. Ayah dia buat tak tahu saja! Tiba-tiba aku melihat linangan air mata membasahi lelaki tesebut. Rupa-rupanya kanak-kanak tersebut baru kehilangan ibu mereka pagi tadi ( isteri kepada lelaki tersebut). Ya Allah. Tersentap sungguh hati.

Teringat pernah menulis lebih kurang begini kisah dalam satu entry. Kali ini Allah swt beri aku peluang merasainya sendiri. Allah. Ampuni aku!

Thursday, May 15, 2014

Ana Vs Enta

 

Enta 1

Enta : Dah berapa kali ana pesan, wajib datang ke usrah, daurah tak datang, datang pulak lewat! Daie’ apa enta ni?

Ana : Tapi entaa.. kelas enta tak datang, kemudian selalu suruh kawan tanda tangan. Kalau datang pun tidur dalam kelas.

Enta : Sayyidina Umar r.a ada menyebut “ Jangan melihat saya yang berkata tapi lihat apa yang dikata”.

Ana : Hmm (angguk2)

Enta 2

Enta : Buat usrah tak bersungguh, mana adik-adik nak ikut.

Ana: Tapi enta, enta tak pernah jadi nuqaba’.

Enta: Setiap orang ada taklifan masing-masing.

Ana : Angguk2..

Enta 3

Enta : Usrah dah banyak kali, daurah dah berkali, talaqqi kitab lagi. Tapi thaqafah tahap tu juga. Susah sangat ke nak faham?

Ana : Tapi enta, pointer ana jauh lebih baik dari enta.

Enta : Enta jangan nak campur-aduk kerja dakwah dan akademik.

Ana: Baik-baik. ( tunduk muka)

Enta 4

Enta : Asyik2 kuliah,bila lagi nak turun ke lapangan gerak kerja. Muka enta tak pernah nampak.

Ana : Tapi enta, solat jemaah tak pernah pun nampak muka.

Enta : Enta masih tak boleh beza amal fadhi dan amal jamaie’?

Ana : Hmm ( geleng2)

……………………………………………………………………………..

Kadang-kadang kita tidak dapat menerima teguran seseorang, kita sibuk mencari kesilapan orang lain untuk menutup kesilapan kita. Astaghfirullah. Tiada sungguh adab kita dalam menerima teguran.Lihat seerah bagaimana sahabat nabi (ketika menjadi khalifah) menerima teguran dari rakyat biasa.

Jika benar terima lah, ke atas diri kita. Mahupun teguran itu buat sahabat kita. Kata sahabat?

“قل الحق ولو كان مرا”

(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dan juga, sebenarnya kita bergaduh dengan diri kita sendiri tanpa kita sedar. Kita berbicara dengan jiwa kita yang bergelora antara nafsu dan iman. Dan kita terkadang memisahkan sendiri tembok Dakwah, Agama dari kehidupan kita. Mana mungkin boleh berpisah. Kita berkata kencang hal agama, tapi kita sendiri yang membina benteng pemisah antara itu.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (QS: Ash-Shaff Ayat: 2)

Teguhkan hati kita wahai Sang Daie’. Penuh dengan ilmu dan kekuatan. Zaman silam bukan alasan, terus langkah ke hadapan. Teguran itu buat aku, kau , dia dan semua. Semoga Tuhan mengistiqamah hati² kita di jalan ini.

#Menjadi daie’ itu susah kerna sorga itu indah!

Tuesday, May 13, 2014

Daie’ Pondan

 

apa-erti-aku-jadi-daieDaie’, pendakwah, menggelar diri pembuat kerja agama. Katanya menggerak risalah Tuhan. Tugas menyebarkan kebaikan itu bukan mudah, lihat pada seerah! Baginda nabi s.a.w orang yang paling hampir dengan Allah, orang yang doa terus mustajab, orang yang memiliki kesempurnaan akhlak pada peribadi tak kurang paras rupa yang kacak TAPI baginda Nabi Muhammad s.a.w. sampai terdengar kocakan darah pada sepatu nabi ketika perjalanan dakwah di Thaif.Allahuakbar.

kita? bagaimana? Saya ingin pesan buat sahabat-sahabat ,adik-adik penyambung rantai perjuangan, terutama diri saya sendiri jauhi dari sifat-sifat daie’ seperti berikut;

1) Pelayan tegar musik-musik jiwang, korean, jepun @ jiwang.

2) Mabuk upload gambar, habis semua benda upload di laman sosial ( FB, Instagram, Wechat, Twitter dll)

3) Kena tegur sikit, terasa , merajuk, kemudian sibuk luah di Facebook.

4) Post mengarut2 di Facebook, terutama bab kucing.

5) Imej yang selekeh, pemakaian, penampilan tak thiqah untuk dilihat sebagai kepimpinan Islam.

6) Bermanja-manja dalam gerak kerja, semua nak kena tunjuk. Malas untuk berfikir.

7) Malas dalam menuntut ilmu, sembang lebih, Quran hadis sepatah pun tak dak dalam hati.

8) Ibadat yang kurang, hubungan dengan Allah yang jauh even gerak kerja mantap, apatah lagi buat yang tak bergerak.

9) Kaki gamers. DOTA, PES, CS and so on. sesekali nak layan tu ok.

10) Akademik yang teruk, tak datang kelas, datang lewat ke kuliah.

Jauhilah perkara di atas, yang banyak menggugat hati kita yang rapuh. Sifat lembut pada seorang daie itu perlu ada. Tapi bukan seorang daie’ yang berjiwa lembut! Lemah dan lemau dalam menjalankan dakwah! Jadilah seorang daie’ yang kukuh pada terasnya, mampan pada isinya.

Adik-adik sekalian, kita perlu jelas apa yang kita ingin bawakan. Ya, Kita bukanlah sempurna , tapi harus untuk kita jadi sebaik mungkin. Bersabar dalam bergerak, bijak dalam bergerak dan full of commit and stop saying “ tu je ana mampu”. Try to push untill the limit.  Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati dirimu sekalian.

#jangan biarkan harimu berlalu tanpa memikirkan masalah ummat.Tapi jangan tergolong dalam masalah itu. ok!

Saturday, April 26, 2014

Tangisan Al-Quran

 

Sewaktu imam membaca ayat ini :

Capture

tiba-tiba seorang jemaah menangis teresak-esak. Tiba-tiba aku menjadi sebak, hanya memahami beberapa perkataan, tidak dapat menahan deraian air mata yang tiba-tiba menelus empangan yang dibina.

Apakah maksud ayat ini sepenuhnya? yang mampu menyentuh kalbu yang kian kotor ini. Lalu balik mencari terjemah kepada ayat ni. Rupa-rupanya Allah berfirman :

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (QS: Al-Baqarah Ayat: 186)

Oh menusuk kalbu. Meratap satu persatu kalam Tuhan ini. Bila kita ditimpa musibah, ujian dan pelbagai rintangan hidup , kita lupa ada yang sentiasa hampir dengan kita. Tapi kita sibuk pula mengeluh sana-sini . Tuhan itu ada! T-T

Saturday, April 19, 2014

Perjalanan Yang Semakin Jauh

 

Orang kata, semakin meningkat umur semakin singkat perjalanan kita. Apa yang kita faham singkat? Masa? Perjalanan? Teringat satu hadis nabi s.a.w yang dijumpa dalam Buku Pengurusan Badar yang ditulis Ustaz Irfan lepasan KISAS.

 Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tarmizi)

Oh , hanya berbaki 30 tahun lebih saja untuk kita menikmati hidup. Oh Tuhan. Hutang, kumpul harta, keluarga, anak-anak, amal ibadat sempat ke? Ramai, ribuan, jutaan masih tak sedar diperhentian perjalanan hidup ini.

DSC_0045Sebenarnya perjalanan akan lebih jauh bila kita mengorak langkah untuk terus berada atas jalan Tuhan. Biar umur kita singkat, tapi kita mengorak langkah yang lebih jauh dalam perjalanan bertemu Tuhan. Jauh perjalanan luas permandangan. kan??

Semoga Allah memudahkan urusan. Mohon doa dari orang-orang sekeliling itu jauh lebih baik. Allah musta’an.

Monday, April 7, 2014

Oh Ayah

 

Dah lama tak balik rumah. membuat aku untuk berborak sepuas-puanya dengan mak ayah di rumah. Oh indah suasana kampung. Dihidup dengan kelibat aktiviti ibu dan ayah. Pagi-pagi seronok lihat ayah beri makan ayam dan itik. Mereka masing-masing tengah sibuk membaca buku-buku berkaitan umrah. tiket flight 24 hb April ni.

ayah

Bercakap-cakap di meja makan. tiba-tiba ayah membuka cerita, orang masjid masing-masing sibuk menceritakan kekayaan harta anak mereka” . “ Anak saya gaji Rm 11 ribu.. anak saya gaji rm8k je..” suara orang kampung. Ayah cakap,  “ Ayah tak mampu nak beri anak-anak ayah kaya harta, tapi ayah tahu anak-anak ayah kaya dengan ilmu”

Fuh sentap aku kejap. tak pernah dengar ayah cakap macamni. Kadang-kadang kita ambil masa yang lama untuk memahami ayah sendiri. =) Semoga ayah sentiasa dirahmati Allah swt.

Monday, March 31, 2014

Kebaikan yang tiada habis

1011128_10151651520415376_579803327_n

Teringat hadis ni, dapat dari kelas pengajian ustaz, sebelum ke bumi Melaka. Semakin lama kita hidup, semakin membuat kita berfikir. SEPATUTnya la kan. Typicall people, ever don’t care how its flow. Janji hidup dia senang, tak menyusahkan orang lain. Membuat rutin yang sama, ribuan yang seperti itu.

Baru ni, kakak berborak dengan seorang pakcik yang nak pencen/bersara. Pakcik tu berkata , “ Nilai saya berkerja selama 30 tahun nilai dia hanya sehelai tuala (hadiah persaraan)” . 20-30 tahun melakukan rutin yang sama.

Begitu juga buat sang pelajar, kehidupan 3-4 tahun yang sama seperti ribuan pelajar di antara jutaan pelajar. “alah apa nak susah, janji kita ikut cakap Tuhan, tak menyusahkan hidup orang lain dah la” Oh senangnya hidup. Tuhan ciptakan kau untuk itu sahaja?

Perjalanan hidup yang biasa, normal hanya untuk kepuasan diri? Belajar , kerja, kahwin, ada anak, hujung minggu pergi bersiar-siar, pencen, baru nak pergi masjid. O Allah aku mohon perlindungan dari itu.

Moga doakku memohon kehidupan yang “luar biasa” dalam melalui denai-denai kehidupan yang tidak sesekali ku kesali suatu ketika nanti bahkan menjadi kepuasan di akhirat kelak. Amin ya Allah.

Carilah peluang berbuat kebaikan walau sebesar mana kesukaran, nescaya itu lebih memberi manfaat kepada dirimu. Hidup begitu beerti bila memberi.

Saturday, March 8, 2014

Istikharah Yang Parah

 

Tetttttt. Hafiz’s Samsung S3 vibrated. Received a text message. Then he just read the SMS. “Salam, it’s wrong to share a sign?” A simple text send by someone. “ Wassalam, it’s okay unless it cross the syariat. What sign? a signboad?” Hafiz replied. “ I have done my istikharah” shortly she reply the message.

“ Ha? , alhamdulillah.. it’s good then. Ha I taught it’s must be about jodoh isn’t? So what it’s about? It’s sound so harsh. Just make it simple” Hafiz become more curious and his predict were right but it’s not about jodoh at all. “ I prayed a lot. I didn’t know this is the right way, but I have to. I try to make it.” She replied. “ What isn’t actually ha? Too much words.” Hafiz can’t wait. “ The truth is, I saw you in my dream lately” She tell the truth. Wat der.. haha

………………………………………………….

Baginda bersabda: “Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya”. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari. (halaqah.net). Ada beberapa hadith yang menceritakan soal melakukan solat sunat istikharah. Apa yang dicerita bukanlah dari segi hukum fiqhnya cuma pandangan yang kerdil.36026_1208971963619_1808320551_426523_4404362_n

Sekarang, bila sebut istikharah, konfem bab jodoh. Bila datang pemilihan jodoh, baru la teringat istikharah. Dan lepas istikhara, kononnya menunggu mimpi, perkara-perkara pelik yang kononnya “petunjuk” Tuhan. Dah kalau tiap masa terfikir. Terbayang wajah. tak bawa ke mimipi? Aduihh. Dan ada yang menggunakan dalil mimpi sebagai jodohnya. Ya tidak dinafikan mungkin ya atau mungkin tidak. Siapakah kita untuk Tuhan datangkan jodoh melalui mimpi? Mulia kah kita? Banyak sangat kah amal?

Ya betul berserah pada Tuhan. Tapi jangan lupa kita ada akal untuk timbang tara antara lebih kurang dan kita ada istisyarah (bermesyuarat) . dan hadirnya selepas itu ;

Firman Allah ta’ala : “ Dan apabila kamu telah berazam untuk melakukan sesuatu, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal

Tidak dinafikan pilihan jodoh antara perkara terbesar dalam hidup seseorang. Tapi jangan sampai menggunakan agama untuk menunjuk kononnya datang dari Tuhan. Cukup la agama dipermain2kan, diperlekeh. Hanya diperguna dalam sesetengah perkara.  Jika beristikharah, penuh pengharapan kepada Allah swt. dan Sentiasa berusaha atas doa yang tidak putus kepadaNya. Jangan ingat Allah ni dalam hal-hal tertentu saja. Allah ada sebut;

“Ingatlah kepadaku, niscaya Aku ingat kepadamu”

Hidup biar Sentiasa BerTuhan.

p/s: kalau jodoh ikut mimpi, dah lama Neelofa jadi bini aku. haha